Peranan guru amat penting
dewasa ini, ia adalah domain utama yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah
dalam proses penerapan dan penyampaian ilmu kepada anak bangsa. Ledakan era
globalisasi turut mengheret kemajuan pesat bidang pendidikan negara. Hal ini
menuntut warga pendidik untuk membangunkan diri, sama ada secara rela atau
tidak supaya selari dengan bidang pendidikan yang sememangnya sentiasa berubah
dan mengalami pembaharuan dari masa ke semasa. Situasi inilah secara umumnya
telah mengakibatkan warga pendidik terpaksa berhadapan dengan pelbagai tugas
dan tanggungjawab yang lebih mencabar, lebih berat dan semakin terbeban.
Situasi inilah menyebabkan guru-guru dikatakan sangat terdedah kepada risiko
tinggi untuk mengalami stres.
Dipetik daripada Utusan
Online ruangan Gaya Hidup bahagian pendidikan oleh Noor Hamizah Abu Bakar di
dalam artikelnya yang bertajuk; Guru Lebih Stes, menyatakan hasil kajian
mendapati bahawa guru berada di kedudukan keempat dalam kerjaya yang paling
mencetuskan tekanan atau stres terutama dari segi fizikal selepas polis,
pegawai penjara dan jururawat. Malah, kedudukan itu berada di atas daripada
profesion tentera yang menduduki tempat ke lima.
Stres di kalangan guru
merupakan topik popular yang tidak asing lagi dibincangkan oleh media massa
mutakhir kini. Di Malaysia, stres di kalangan guru dilaporkan meningkat pesat
selari dengan kepesatan pembangunan pendidikan di Malaysia. Laporan berkenaan
masalah dan salah laku guru di dada-dada akhbar, hampir kesemuanya adalah kesan
daripada kegagalan guru-guru berkenaan menguruskan stres dalam diri. Masalah
stres dikalangan guru haruslah dikenal pasti dan diketahui punca sebenar
seterusnya ditangani sewajarnya. Sekiranya tidak ditangani masalah ini akan
merebak sehingga mengakibatkan permasalahan-permasalahan yang serius yang
berhubung kait rapat dengan gangguan emosi, perubahan dalam tingkah laku
seterusnya “burn out” yang menghalang mereka daripada melaksanakan tugas dan
tanggungjawab dengan lebih berkesan (Kyriacou dan Sutcliffe, 1978).
No comments:
Post a Comment