Thursday 19 March 2015

KAEDAH ISLAM DALAM MENANGANI STRES


Islam merupakan agama yang sempurna. Cara yang terbaik dalam menangani stres ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah. Hashim Anang (2009) menyatakan pendidikan dan pengamalan Islam yang sepenuhnya akan membantu mengatasi masalah stres dikalangan guru.
Seorang guru yang beragama Islam seharusnya memainkan peranannya sebagai agen dakwah dengan melakukan segala perintah di dalam agama Islam terlebih dahulu. Di dalam ajaran Islam misalnya, amalan solat yang khusyuk lima waktu sehari semalam sebenarnya merupakan kaedah terbaik untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan sekaligus menangani segala masalah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminun, 23: 1&2 yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman, Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam solatnya".
Perkataan “aflaha” atau berjaya di sini bukan sekadar berjaya di dunia malah berjaya juga di akhirat. Mereka yang beroleh khusyuk dalam solat, akan juga beroleh khusyuk dan ketenangan dalam kehidupan dan minda mereka. Malah seruan azan juga turut mengaitkan solat dengan kejayaan. Marilah bersolat dan marilah menuju kejayaan.Abu Darda' di dalam kitab al-Asas fi Tafsir menyatakan bahawa khusyuk itu ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan. Faedah khusyuk ini akan membina jati diri seseorang muslim yang taat dan soleh, yang tenang dan aman jiwanya dan yang ikhlas dalam tindak-tanduk amalnya. Ketenangan jiwa merupakan penawar utama bagi masalah stres.
Berzikir juga merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa dan menghilangkan stres. Dalam hal ini, Allah SWT memberi jaminan bahawa mereka yang senantiasa mengingati-Nya akan beroleh ketenangan hati. Allah SWT berfirman dalam surah al-Rad, 13: 28 yang bermaksud, "(Iaitu) orangp-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia". Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Baqarah, 2:152 yang bermaksud; "Maka berzikirlah (ingatlah) kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingati kamu sekelian".
Amalan membaca, mendengar dan menghayati al-Quran juga mampu menjadi penenang kepada jiwa. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda". (Hadis riwayat Bukhari). Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Didiklah anak-anak kamu atas tiga sifat iaitu: Cintakan nabi mereka, cintakan keluarga nabi dan membaca al-Quran".

Jelas di sini berdasarkan pencerahan beberapa amalan di atas, Islam mempunyai kaedah tersendiri dalam menjaga kesihatan jiwa dan menangani stres. Mereka yang mengalami stres khususnya di kalangan guru seharusnya berusaha mencapai solat yang khusyuk, sentiasa berzikir dan menghayati isi kandungan al-Quran. Amalan-amalan ini terbukti mampu menjadikan diri kita sihat zahir dan batin.

No comments:

Post a Comment