Islam merupakan agama yang
sempurna. Cara yang terbaik dalam menangani stres ialah dengan mendekatkan diri
kepada Allah. Hashim Anang (2009) menyatakan pendidikan dan pengamalan Islam
yang sepenuhnya akan membantu mengatasi masalah stres dikalangan guru.
Seorang guru yang beragama
Islam seharusnya memainkan peranannya sebagai agen dakwah dengan melakukan
segala perintah di dalam agama Islam terlebih dahulu. Di dalam ajaran Islam
misalnya, amalan solat yang khusyuk lima waktu sehari semalam sebenarnya
merupakan kaedah terbaik untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan sekaligus
menangani segala masalah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminun, 23:
1&2 yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman,
Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam solatnya".
Perkataan “aflaha” atau
berjaya di sini bukan sekadar berjaya di dunia malah berjaya juga di akhirat.
Mereka yang beroleh khusyuk dalam solat, akan juga beroleh khusyuk dan
ketenangan dalam kehidupan dan minda mereka. Malah seruan azan juga turut
mengaitkan solat dengan kejayaan. Marilah bersolat dan marilah menuju kejayaan.Abu
Darda' di dalam kitab al-Asas fi Tafsir menyatakan bahawa khusyuk itu ialah
pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam
keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan
kerana ia adalah dari syaitan. Faedah khusyuk ini akan membina jati diri
seseorang muslim yang taat dan soleh, yang tenang dan aman jiwanya dan yang
ikhlas dalam tindak-tanduk amalnya. Ketenangan jiwa merupakan penawar utama
bagi masalah stres.
Berzikir juga merupakan
amalan yang mampu menenangkan jiwa dan menghilangkan stres. Dalam hal ini,
Allah SWT memberi jaminan bahawa mereka yang senantiasa mengingati-Nya akan
beroleh ketenangan hati. Allah SWT berfirman dalam surah al-Rad, 13: 28 yang
bermaksud, "(Iaitu) orangp-orang yang beriman dan tenang tenteram hati
mereka dengan zikrullah". Ketahuilah Dengan "zikrullah" itu,
tenang tenteramlah hati manusia". Allah SWT juga berfirman dalam surah
al-Baqarah, 2:152 yang bermaksud; "Maka berzikirlah (ingatlah) kepada-Ku,
nescaya Aku akan mengingati kamu sekelian".
Amalan membaca, mendengar
dan menghayati al-Quran juga mampu menjadi penenang kepada jiwa. Diriwayatkan
bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Al-Quran adalah penawar
kepada kesakitan minda". (Hadis riwayat Bukhari). Rasulullah SAW juga
pernah bersabda: "Didiklah anak-anak kamu atas tiga sifat iaitu: Cintakan
nabi mereka, cintakan keluarga nabi dan membaca al-Quran".
Jelas di sini berdasarkan
pencerahan beberapa amalan di atas, Islam mempunyai kaedah tersendiri dalam
menjaga kesihatan jiwa dan menangani stres. Mereka yang mengalami stres
khususnya di kalangan guru seharusnya berusaha mencapai solat yang khusyuk,
sentiasa berzikir dan menghayati isi kandungan al-Quran. Amalan-amalan ini
terbukti mampu menjadikan diri kita sihat zahir dan batin.
No comments:
Post a Comment