Kesemua faktor yang
menyumbang kepada masalah stres di kalangan guru seharusnya diambil perhatian
sepenuhnya oleh semua pihak seterusnya di atasi dengan cara yang palin sesuai
dan berkesan. Sebagai tunggak pendidikan negara, guru sememangnya perlu bijak
menangani segala isu pendidikan agar dapat mengawal stres. Oleh itu, guru perlu
bijak dalam mengendalikan stres. Kegagalan guru untuk mengendalikan stres
memberikan kesan negatif kepada kesejahteraan fizikal, mental dan emosi guru
sekaligus menjejaskan profesion keguruan dan bidang pendidikan negara.
Stress
dalam kalangan guru dapat dikendalikan dengan strategi berikut:
Kenal pasti reaksi emosional.
Apabila keperluan emosi
dapat dikenal pasti maka seseorang guru boleh menangani stress dengan cara yang
lebih positif. Contoh situasi, seorang guru perempuan tidak bersefahaman dengan
pengetua di sekolahnya. Guru tersebut telah menangani stress dengan cara yang
negatif, iaitu menengking pengetua itu. Setelah guru tersebut mengetahui
keperluan emosi dalam dirinya, guru tersebut sedar bahawa tindakannya adalah
kerana suatu masa dahulu ayahnya telah menggunakan pendekatan yang sama oleh
pengetua itu, iaitu lagak bapa yang menghukum anaknya. Guru tersebut sedar
bahawa dia inginkan pengetua itu menghargai beliau. Guru tersebut telah
berhadapan dengan pengetua dan memberitahu perasaannya itu. Akhirnya, hubungan
mereka berjaya dipulihkan.
Komitmen sosial.
Apabila berhadapan dengan stress, guru
memerlukan sokongan daripada orang-orang di sekelilingnya. Oleh itu, komitmen sosial
amatlah penting.
Kehidupan fizikal.
Stress menjejaskan
kesihatan dari segi imunisasi tubuh. Oleh itu, seseorang guru harus tahu teknik
yang berkesan untuk menangani stress terutamanya menjelang waktu-waktu tekanan
memuncak seperti musim peperiksaan pelajar dan pertukaran pentadbiran di
sekolah.
Pengetahuan dalam senaman
rutin dan pelan makanan seimbang boleh membantu guru menangani stress. Seorang
guru perlu memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan dan kecergasan diri.
Perbanyakkan melakukan dan menyertai aktiviti yang menjurus kepada senaman
berbentuk fizikal seperti aerobik dan bermain badminton serta melakukan secara
beramai-ramai bagi menimbulkan suasana yang harmoni dan penuh gelak-ketawa.
Selain dari menjaga
kecergasan diri, guru juga boleh bersosial dengan teman-teman rapat dalam masa
yang sama untuk bertukar-tukar pandangan dan pendapat tentang sesuatu isu. Semua
guru haruslah mengamalkan gaya hidup yang sihat dalam kehidupan seharian. Ini
termasuklah menjaga soal pemakanan dengan pengambilan makanan yang seimbang
serta banyak menghabiskan masa dengan keluarga dan mengelakkan gaya hidup yang
negatif seperti merokok, minum arak, berhibur di kelab malam dan sering tidur
lewat.
Intelek
Guru hendaklah bergaul
dengan golongan yang memiliki tahap intelek yang serupa dengan mereka kerana
aspek intelek boleh membantu guru menangani stress (Gold Yvonne dan A. Roth
Robert, 1993).
Dengan menjadi guru tidak
semestinya kita tidak perlu menambah ilmu pengetahuan terutamanya dalam
mengetehui cara mengatasi stres. Guru seharusnya terus memperbanyakkan maklumat
mengenai pengurusan tekanan dari pembacaan buku ataupun rencana akhbar mahupun
menonton rancangan-rancangan berkaitan di televisyen. Lebih banyak maklumat
yang diperolehi maka lebih mudahlah untuk seseorang guru mengurus tekanannya.
Stress jika dibiarkan, boleh
mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik. Justeru adalah penting untuk
mengubah diri individu untuk menangani stress dengan cara yang terbaik. Kenal
pasti punca yang menyebabkan masalah tersebut dan ubah. Dengan mengetahui punca
stress tersebut, individu bukan hanya meringankan masalah kini malah
menghindarkan berulangnya masalah serupa pada masa akan datang. Contohnya, jika
seseorang guru kecewa dengan perbalahan dengan pelajarnya, guru tersebut
mungkin menyedari bahawa punca kekecewaannya itu bukan disebabkan oleh tingkah
laku pelajar tetapi harapan yang tidak realistik guru berkenaan. Dengan
mengubah standard yang ingin dicapai, guru tersebut akan mendapati bahawa
tingkah laku pelajar tidak lagi mengganggunya.
Bagi mengatasi masalah tersebut juga,
Goleman (1999) telah menyarankan lima faktor atribusi terhadap masalah stress
atau burnout. Faktor- faktor tersebut ialah:
a) Kesedaran Kendiri (self-awareness)
b) Pengawalan Kendiri (self-regulation)
c) Motivasi Kendiri (self-motivation)
d) Empati
e) Kemahiran Sosial (social skills)
Faktor atribusi pertama iaitu
kesedaran kendiri bermaksud kebolehan seseorang guru untuk mengetahui perasaan
mereka dalam satu-satu situasi dan keupayaan mereka untuk memilih keutamaan
panduan dalam membuat keputusan. Seseorang guru yang mempunyai kesedaran
kendiri juga mempunyai penilaian yang realistik tentang keupayaan diri dan
mereka mempunyai keyakinan diri yang utuh.
Pengawalan kendiri
(self-regulation) dimaksudkan sebagai kebolehan mengurus emosi agar ianya
memudahkan dan bukannya mengganggu dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. Guru
yang boleh mengawal diri mereka sentiasa berhemah dan boleh menangguhkan
sementara perasaan negatif mereka. Guru sedemikian juga cepat pulih daripada
tekanan emosi.
Guru yang mempunyai
motivasi kendiri (self-motivation) berupaya menggunakan kehendak diri dalam
menggerak dan memandu arah mereka untuk mencapai sesuatu tujuan. Motivasi
kendiri boleh membantu seseorang dalam mengambil inisiatif dan
bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri. Individu dengan motivasi kendiri
yang tinggi sentiasa tabah apabila menghadapi masalah atau dalam keadaan
kekecewaan yang tinggi.
Empati merupakan faktor
atribusi yang boleh membantu seseorang mengesan perasaan orang lain. Sifat
berempati juga membolehkan seseorang guru melihat atau memahami sudut pandangan
orang lain. Sifat ini juga boleh menjadi faktor pencetus dan penyubur kemesraan
dan keserasian dengan individu dari pelbagai latar belakang. Individu yang
mempunyai sifat empati boleh menyelami keperitan, kesusahan, kekecewaan atau
keraguan seseorang terhadap sesuatu perkara. Rogers (dalam Corey, Corey &
Callahan 1998) menyatakan bahawa seseorang yang boleh menunjukkan sifat
berempati akan lebih mudah berinteraksi dengan orang lain terutama dalam proses
membantu seseorang. Guru perlu memiliki sikap ini supaya dengan mudah memahami
dan mendekati murid. Murid akan berasa selesa bersama guru dengan adanya
kemahiran tersebut.
Faktor atribusi terakhir yang
dicadangkan oleh Goleman (1999) ialah kemahiran bersosial (social skills).
Beliau menyatakan bahawa faktor kemahiran bersosial ini membolehkan seseorang
mengurus pelbagai emosi secara efektif dalam perhubungan. Mereka juga mampu
mentafsir dengan tepat situasi sosial dan jaringannya selain daripada mahir
memujuk dan memimpin. Seseorang guru yang mempunyai kemahiran bersosial yang
berkesan juga mampu menjadi pakar runding yang baik disamping berkebolehan
menyelesaikan konflik bagi mewujudkan kerjasama dan semangat berpasukan dalam
bilik darjah.Selain itu hubungan interpersonal yang baik juga perlu bagi guru
antaranya berkongsi masalah dengan rakan sekerja, rakan sekerja sentiasa
memberi kerjasama dan sentiasa mendapat galakan daripada pentadbir
Kyriacou (1987) juga
menekankan bahawa stres yang berpanjangan boleh melemahkan mental dan fizikal
serta berupaya melemahkan secara signifikan kerjaya guru dan prestasi
pelajarnya kerana stress menjejaskan kualiti pengajaran dan komitmen para guru.
Keberkesanan sesuatu pendidikan adalah bergantung kepada pengerak utama sistem
ini iaitu guru-guru. Prestasi guru dan komitmen adalah penting bagi seseorang
guru untuk membantu anak bangsa dalam memperolehi kejayaan.